PENGURUS Chelsea, Mauricio Pochettino. FOTO Agensi
PENGURUS Chelsea, Mauricio Pochettino. FOTO Agensi
AFP

London: Kurangnya keinginan untuk menang dan isu kepenatan antara punca mengapa Chelsea gagal meraih kemenangan apabila diikat Burnley dengan 2-2 di Stamford Bridge dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Perkara itu diakui Mauricio Pochettino selepas perlawanan di mana barisan pemainnya dicemuh penyokong The Blues ekoran keputusan itu.

Sepanjang aksi itu, tuan rumah mendahului dua kali namun gagal mempertahankan kelebihan apabila pelawat berjaya bangkit untuk membawa pulang satu mata.

Cole Palmer mencetak dua gol, masing-masing pada minit 44 menerusi sepakan penalti serta gol kedua pada minit 78.

Begitupun Burnley tidak mengalah biarpun terpaksa beraksi dengan 10 orang apabila Lorenz Assignon di buang padang pada minit 40 buat memberi kelebihan kepada Chelsea.

Bagaimanapun, ia gagal dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain tuan rumah apabila lawan bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Josh Cullen (m-47) dan Dara O'Shea (m-81).

"Hari ini kami tidak menunjukkan keinginan dan rasa laparkan kemenangan itu tiada. Dalam aspek bertahan, kami terlalu mudah dilepasi oleh penyerang lawan," kata Pochettino.

"Itulah sebabnya saya sangat kecewa...kecewa di sini (di hati), dan di sini (di kepala) daripada di kaki anda. Ia soal bagaimana kami mampu tampil lebih 'lapar' dalam perlawanan.

"Kami terlalu perlahan dan itu adalah punca kekalahan. Apabila kami tidak mempunyai bola, kami tidak mempunyai tenaga yang sama.

"Maaf saya tidak gembira dengan prestasi kami. Sukar untuk menerima keputusan ini, ia perlawanan yang mesti dimenangi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 8:01 AM