OLIVIER Giroud (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
OLIVIER Giroud (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Marseille: Olivier Giroud adalah antara penjaring ketika Perancis bangkit untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Chile pada perlawanan persahabatan di Velodrome dekat Marseille, awal pagi tadi.

Pasukan pilihan Euro 2024 itu dilihat bergelut selepas bolos hanya lapan saat dalam perlawanan menentang Jerman di Lyon hujung minggu lalu, yang kemudiannya menyaksikan mereka tewas 0-2.

Kali ini mereka ketinggalan selepas enam minit perlawanan menerusi gol Marcelino Nunez, tetapi bangkit kembali hasil jaringan Youssouf Fofana, Randal Kolo Muani dan Giroud, sebelum Dario Osorio meraih gol kedua untuk Chile lewat permainan.

Keputusan itu mengurangkan keraguan yang menyelubungi pasukan Perancis selepas prestasi hambar ketika menentang Jerman.

Bagaimanapun Perancis tidak dibarisi pasukan utama dengan kapten, Kylian Mbappe dan pemain tengah, Aurelien Tchouameni hanya pemain yang dikekalkan dalam kesebelasan utama ketika jurulatih Didier Deschamps melakukan sembilan pertukaran.

Antara yang diberi peluang beraksi adalah bek kanan Marseille, Jonathan Clauss dan pemain tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga, yang kedua-duanya terpaksa dikeluarkan kerana cedera pada separuh masa pertama.

"Jika kami mahu bertindak cemerlang Jun ini, kami perlu melakukan yang lebih baik berbanding ini," akui Deschamps ketika Perancis akan berdepan Belanda, Austria dan Poland pada peringkat kumpulan di Euro 2024.

"Saya tidak akan melompat kegirangan malam ini. Bagus kami menang perlawanan ini selepas permulaan buruk dan sering kali bagus untuk mendapat tiga gol, sekalipun jika kami melepaskan dua gol.

"Kami perlu melakukan perkara secara berbeza (di Euro). Kami mempunyai keupayaan, kami mempunyai keghairahan, tetapi kami juga perlukan kesegaran yang mana kami agak kekurangan malam ini," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 9:27 AM