PAYET (kanan) tidak disenaraikan dalam skuad Piala Dunia Perancis. FOTO/AFP
PAYET (kanan) tidak disenaraikan dalam skuad Piala Dunia Perancis. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Bintang Marseille, Dimitri Payet tidak disenaraikan dalam skuad Piala Dunia Perancis, selepas pengumuman jurulatih, Didier Deschamps hari ini - sekali gus melengkapkan tempoh 24 jam yang sukar buat pemain perancang itu.

Bekas pemain West Ham United itu terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan hamstring pada babak pertama final Liga Europa ketika Marseille tewas kepada Atletico Madrid semalam.

Keraguan mengenai tahap kecergasannya menyebabkan Deschamps tidak menyenaraikan pemain itu dalam skuad 23 pemain Perancis.

“Dimitri Payet adalah calon utama dalam skuad. Dia bermain pada babak pertama (berdepan Atletico), tetapi dia mengalami kecederaan, dan pemulihan untuk kecederaan itu perlukan masa tiga minggu,” kata Deschamps ketika mendedahkan nama skuadnya di stesen televisyen TF1.

“Tetapi disebabkan ia adalah kecederaan otot, ada risiko (untuk) berulang,”

Payet adalah seorang daripada bintang Perancis pada Euro 2016, apabila mereka mara ke final selaku tuan rumah tetapi tewas kepada Portugal.

Namun ada juga pemain penyerang yang tidak dipanggil oleh Deschamps walaupun pengendali Perancis itu menyenaraikan rakan Payet di Marseille, Florian Thauvin bersama kapten Lyon, Nabil Fekir.

Selain itu, pertahanan kiri Manchester City, Benjamin Mendy turut dipanggil walaupun jarang bermain untuk skuad Pep Guardiola sejak kembali daripada kecederaan lutut yang serius.

Berdasarkan senarai itu, Antoine Griezmann akan mengetuai serangan selepas baharu menjaringkan dua gol buat Atletico pada final Piala Europa.

Nama besar lain termasuk penjaga gol, Hugo Lloris; pemain tengah Manchester United, Paul Pogba; penyerang Chelsea, Olivier Giroud serta bintang muda Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:02 AM