AHMAD Zikri (kiri) mengakui corak permainan yang ditampilkan Garrido berbeza dalam usaha mempersiapkan pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AHMAD Zikri (kiri) mengakui corak permainan yang ditampilkan Garrido berbeza dalam usaha mempersiapkan pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Ahmad Zikri Mohd Khalili mengakui pasukan senior berada pada tahap berbeza sekali gus memberi seribu satu pengajaran yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

Ahmad Zikri antara tujuh pemain skuad B-23 yang dipanggil jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon untuk menyertai latihan pasukan senior baru-baru ini sebelum mereka berlepas ke Oman bagi mengharungi aksi kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Menurut pemain Selangor FC itu berkata, dia mengakui corak permainan yang ditampilkan jurulatih B-23 Juan Torres Garrido ketika berbeza dalam usaha mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 bulan depan.

"Beraksi bersama pasukan skuad senior dan juga bawah 23 tahun ada perbezaan terutamanya membabitkan keupayaan kerana masing-masing berada pada tahap berbeza.

"Jika dilihat secara keseluruhan terdapat perbezaan membabitkan corak latihan yang diterapkan Garrido," katanya, ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Skuad muda negara bakal mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada bulan depan di Qatar.

Saingan terbabit cukup penting kerana menawarkan slot ke Paris 2024 apabila tiga pasukan teratas layak secara automatik sementara tempat keempat akan ke aksi playoff menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

Bagi memastikan anak buah Garrido benar-benar bersedia sebelum perlawanan pada bulan depan, FAM sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang India di Malaysia dan beberapa pasukan lagi di Qatar.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan mereka akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 5:31 PM