AQIL mahu pastikan posisi penjaga gawang Negeri Sembilan musim ini miliknya. FOTO Ihsan NSFC
AQIL mahu pastikan posisi penjaga gawang Negeri Sembilan musim ini miliknya. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Posisi penjaga gol Negeri Sembilan Fc (NSFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal berubah dan menjadi rebutan tiga pemain membabitkan antara Tauffiq Ar Rasyid Johar, Syahmi Adib dan Mohamad Aqil Abdul Razak.

Berbanding Tauffiq yang dilanjutkan kontrak musim ini, Syahmi dan Mohamad Aqil adalah pemain baharu yang menganggotai skuad Hobin Jang Hobin.

Musim lalu, Negeri Sembilan yang dibimbing K Devan hanya mempertaruhkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman Sikh Azman yang bertindak sebagai penjaga gol utama manakala Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil selaku penjaga gol kedua, namun kedua-dua pemain ini sudah berhijrah ke pasukan lain musim ini.

Peluang Tauffiq, 28, untuk mengisi posisi berkenaan mungkin cerah namun dia perlu membuktikan prestasi terbaiknya.

"Musim lalu saya banyak beraksi dalam saingan Piala MFL dan kali ini berharap dapat bersama skuad utama.

"Saya akui perlu bekerja keras untuk dapatkan posisi penjaga gol utama kerana percaya hanya yang terbaik dapat mengisi posisi itu. fokus utama untuk dapatkan minit permainan yang baik dan berikan sumbangan terbaik kepada pasukan," kata Tauffiq.

Aqil, 27, juga mempunyai peluang yang sama mengisi posisi berkenaan, malah dia memiliki pengalaman luas selepas membantu PDRM FC menjulang Piala Cabaran musim lalu.

Namun dia juga perlu bersaing dengan Syahmi, 22, yang juga bekas penjaga gol skuad Bawah 19 Tahun kebangsaan (B-19) dan pernah beraksi pada Kejohanan Piala AFF sebelum ini.

"Saya datang ke Negeri Sembilan kerana sukakan penyokong pasukan ini yang ramai dan sentiasa berada di belakang pemain.

"Musim lalu, saya membantu PDRM memenangi Piala Cabaran. Saya berharap musim ini dapat beraksi sepanjang liga serta membantu Negeri Sembilan mengulangi pencapaian yang pernah mereka capai sebelum ini dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Impian besar saya ingin beraksi bersama skuad Harimau Malaya," kata Aqil yang juga pernah mewakili pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC selama empat musim.

Bagi Syahmi, dia akan berusaha membuktikan kemampuan sebenar dengan membantu Negeri Sembilan mencipta kejayaan lebih baik musim ini.

Walaupun berstatus pinjaman daripada Selangor FC, namun dia mahu memastikan kehadirannya memberi impak positif kepada kekuatan pasukan.

"Sama ada dapat berada sebagai penjaga gol utama atau tidak itu soal lain, tapi saya akan bekerja keras memastikan tahap prestasi terbaik dan bersedia mengawal gawang bila diperlukan," kata Syahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 3:25 PM