SYED Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin syukur selepas tersenarai dalam skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SYED Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin syukur selepas tersenarai dalam skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol Terengganu FC II (TFC II), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin akui tidak menyangka terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal membuat perhitungan dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan J di Ulaanbaatar, Mongolia bermula minggu depan.

Sambil menyifatkan rezeki buatnya selepas membantu skuad TFC II menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tempat ketiga, penjaga gol kelahiran Bukit Tunggal berusia 22 tahun itu berazam untuk membalas kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan yang diketuai Brad Maloney selain mahu membantu pasukan melangkah lebih jauh dalam saingan peringkat Asia itu.

"Sejujurnya saya tidak menduga terpilih dalam senarai akhir 23 pemain yang bakal beraksi di Mongolia lebih-lebih lagi saya orang baharu dalam pasukan selepas kali pertama terpilih menjalani latihan dalam kem kebangsaan.

"Bagaimanapun dengan pemilihan ini, syukur kepada Ilahi atas rezeki ini, tidak lupa juga buat ibu bapa yang selalu mendoakan kejayaan saya, barisan kejurulatihan pasukan TFC I dan TFC II serta pihak pengurusan yang memberi peluang kepada saya menyarung jersi pasukan.

"Dengan peluang yang diberi ini saya tekad untuk memperagakan aksi terbaik membantu pasukan melakar kemenangan sekali gus mahu membalas kepercayaan barisan jurulatih skuad kebangsaan terutama aksi tertinggi pertama dalam karier saya nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya adakah dia mampu bersaing dengan dua lagi pencabarnya iaitu penjaga gol Perak FC, Azri Ab Ghani dan Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sebagai penjaga gol nombor satu, bekas murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu akui tugas mencabar lebih-lebih lagi dua penjaga gol itu lebih berpengalaman.

"Tugas sukar sudah pasti menanti saya untuk merebut posisi penjaga gol utama pasukan apatah lagi Azri dan Sikh Izhan lebih berpengalaman berbanding saya.

"Namun saya lihat peluang semua pemain adalah seimbang, jadi peluang saya untuk membuat penampilan pertama juga tetap ada, bagaimanapun saya serahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukannya," kata penjaga gol berketinggian 1.80 meter itu.

Sepanjang musim ini, bekas murid Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu itu adalah penjaga gol utama pasukan TFC II selepas pesaingnya, Suhaimi Husin 'dinaikkan pangkat' beraksi dengan pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) berikutan kecederaan berpanjangan penjaga gol utama skuad itu, Rahadiazli Rahalim.

Skuad kebangsaan yang akan bertolak ke Mongolia pada malam esok bakal membuat perhitungan pertama menentang Loas pada 25 Oktober ini diikuti tuan rumah, Mongolia tiga hari kemudian sebelum menentang Thailand pada aksi terakhir 31 Oktober bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:36 PM