JURGEN Klopp menjulang Piala Liga bersama barisan pemain selepas menewaskan Chelsea di final. FOTO X Liverpool FC
JURGEN Klopp menjulang Piala Liga bersama barisan pemain selepas menewaskan Chelsea di final. FOTO X Liverpool FC
Reuters

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menganggap kejuaraan Piala Liga cukup istimewa dalam kariernya terutama selepas beliau mempertaruhkan barisan muda menumbangkan Chelsea 1-0 di pentas final yang berlangsung di Stadium Wembley.

Dalam aksi kemuncak itu, Klopp menurunkan ramai pemain muda susulan krisis kecederaan yang menyaksikan James McConnell dan Bobby Clark berusia 19 tahun; Jayden Danns, 18 tahun dan Jarrel Quansah 21 tahun diberi peluang beraksi.

Sumbangan keempat-empat tonggak muda itu nyata bermakna dan Liverpool berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi tandukan Virgil van Dijk pada minit ke-118.

"Saya diberitahu yang anda tidak akan memenangi trofi dengan budak-budak, lupakannya. Sepanjang 20 tahun sebagai pengurus, ini adalah trofi paling istimewa pernah saya menangi.

"Saya sering ditanya jika saya berbangga untuk sesuatu, saya harap saya kerap merasainya, tetapi hari ini saya amat berbangga.

"Melihat wajah pemain-pemain muda ini selepas perlawanan, Jayden Danns, anda dapat menulis cerita dalam bola sepak yang tidak dapat dilupakan pemain-pemain akademi tampil menentang pasukan yang kuat dan memenanginya, itu yang kami lakukan," kata Klopp.

Liverpool yang kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris kehilangan sebilangan besar tonggak utama dalam perlawanan akhir Piala Liga itu.

Antaranya Diogo Jota, Trent Alexander-Arnold, penjaga gol Alisson dan Curtis Jones, penyerang Mohamed Salah dan Darwin Nunez serta pemain tengah Dominik Szoboszlai.

Ryan Gravenberch yang terpaksa dikeluarkan selepas buku lalinya cedera pada minit ke-28 memaksa Klopp merombak formasi dengan menghantar bek kanan, Bradley ke depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 8:38 AM