Izzali Ismail

Alor Setar: Jenazah Allahyarham Azraai Khor Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Uda , di sini, pada 6.30 petang selepas solat jenazah disempurnakan di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas solat Asar.

Pengebumian jenazah Allahyarham Azrai turut kira 200 sahabat handai, rakan seperjuangan bola sepak serta penyokong bola sepak sekitar Alor Setar.

Bekas ketua jurulatih Kedah yang merangkul double treble pada 2007 dan 2008 itu menghembuskan nafas terakhir pada 12.05 tengah hari selepas mengalami sakit perut.

Allahyarham Azraai meninggalkan seorang balu, Rohani Ibrahim, 64, dan tiga anak iaitu Mohd Firdaus Zainuddin, 31, Siti Fairuz Zainuddin, 31, dan Nor Azrina Khor Azraai, 21.

Mohd Firdaus menyifatkan kehilangan seorang ayah yang cukup penyayang dan mengambil berat terhadap keluarga.

"Berat hati saya selepas mendapat berita pemergian ayah pada pagi tadi, dan saya yang berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke Alor Setar dan sempat menghadiri pengebumian ayah.

"Saya reda dengan pemergian ayah dan arwah meninggal dunia pada hari baik iaitu Israk Mikraj dan di bulan Rejab.

"Ayah selalu berpesan untuk sentiasa ikhlas dalam setiap apa yang mahu kita lakukan dan tidak mengharapkan balas pada setiap apa yang kita lakukan.

"Saya harap semua dapat mendoakan Allahyarham agar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya.

(DARI kiri) Mohd Firdaus, Siti Fairuz dan Nor Azrina di pusara ayah mereka di Tanah Perkuburan Taman Uda. FOTO IZZALI ISMAIL
(DARI kiri) Mohd Firdaus, Siti Fairuz dan Nor Azrina di pusara ayah mereka di Tanah Perkuburan Taman Uda. FOTO IZZALI ISMAIL

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:54 PM