NELSON (tiga dari kanan) disambut pihak pengurusan KDA FC sebaik tiba di LTSAH, petang tadi. FOTO IZZALI ISMAIL
NELSON (tiga dari kanan) disambut pihak pengurusan KDA FC sebaik tiba di LTSAH, petang tadi. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Bekas pemain dan legenda import Kedah bagi era 'Double Treble', Nelson San Martin sudah lama memendam hasrat untuk kembali menyambung kariernya bersama pasukan yang pernah menaikkan namanya dalam kancah bola sepak tempatan.

Penantian itu berakhir apabila beliau ditawarkan jawatan Pengarah Teknikal selepas pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan nama beliau sebagai penyandang jawatan itu pada 25 Mac lalu.

Ia mencipta lembaran baharu buat KDA FC dan ketibaan Nelson disambut pihak pengurusan, penyokong dan kaum keluarga kepada Allahyarham Azraai Khor Abdullah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, petang tadi.

"Saya merasa cukup teruja dan gembira kerana dapat kembali menyumbang tenaga untuk pasukan yang pernah diwakili sebagai pemain satu ketika dahulu.

"Alor Setar adalah rumah kedua saya dan apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal, saya akan mencuba sehabis baik dalam bidang baharu ini.

"Sebenarnya saya sudah lama menantikan tugas bersama skuad KDA FC dan saya anggap peluang terbaik untuk berbakti kepada pasukan pernah dibimbing jurulatih Azraai Khor," katanya yang tiba di LTSAH bersama isteri, Soledad Valdes dan anak perempuannya, Milaah San Martin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:06 PM