AZRAAI meninggal dunia pagi tadi akibat strok. FOTO FB FAM
AZRAAI meninggal dunia pagi tadi akibat strok. FOTO FB FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemergian jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, pagi tadi disifatkan sebagai kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, arwah begitu dekat dengan bola sepak Terengganu kerana pernah bergelar ketua jurulatih kelab T-Team pada 2014.

Malah, Mohd Sabri pernah bekerja dengan bekas perancang skuad kebangsaan itu ketika menjadi setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT).

Menurutnya, arwah antara jurulatih disegani terutama ketika mencipta sejarah membawa Kedah sebagai pasukan pertama memenangi kejuaraan 'double treble' pada 2007 dan 2008.

"Pemergian Allahyarham boleh saya sifatkan satu kehilangan besar dalam arena sukan bola sepak negara terutama Kedah.

"Jasa Allahyarham dalam pembangunan bola sepak negara terlalu besar dan begitu banyak, lagipun kami begitu dekat dengan arwah kerana pernah bekerja bersama dalam pasukan T-Team.

"Kami bagi pihak TFC dan seluruh peminat mendoakan semoga arwah yang pernah membimbing Harimau Muda A, Negeri Sembilan dan Kelantan ditempatkan dalam kalangan insan beriman," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, arena bola sepak negara dikejutkan pemergian legenda bola sepak negara itu selepas mendapatkan rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) Alor Setar, pagi tadi akibat diserang strok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:44 PM