SADEK kesal isu tunggakan gaji masih berlaku.
SADEK kesal isu tunggakan gaji masih berlaku.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyakit tunggakan gaji bagaikan tidak berkesudahan apabila masalah terbabit diibaratkan barah yang terus membelenggu kancah Liga Malaysia (Liga M), setiap tahun.

Walaupun sudah melakukan pelbagai cara termasuk mengenakan denda dan menyingkir pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji, isu terbabit seolah-olah tiada berkesudahan dan jalan penyelesaian.

Beberapa pihak mendakwa isu berulang itu berpunca daripada pihak pengurusan berbelanja tidak mengukur baju di badan sendiri selain 'hasil' daripada penaja tidak menepati apa yang diharapkan.

Menurut pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, peringatan dan nasihat sudah diberikan, namun beberapa pasukan dilihat tidak pernah belajar daripada pengalaman lalu apabila tidak hanya berbelanja mengikut wang dalam akaun mereka sebelum musim bermula.

Beliau berkata, akibatnya, banyak pasukan bergelut dengan masalah kewangan terutama apabila saingan menuju ke penghujung musim.

"Ini (isu tunggakan gaji) seperti penyakit barah, makin lama makin parah. Ia tiada kesudahan, kita akan lihat hanya dua atau tiga pasukan sahaja yang dipercayai mampu membayar gaji secara efektif dan apabila tak ada komitmen daripada penaja, pasukan akan menghadapi masalah kewangan kronik.

"Saya berasa isu ini sekarang lebih teruk daripada ketika pasukan berada di bawah FA (Persatuan Bolasepak Negeri)," katanya.

Sebelum ini, beberapa pasukan termasuk Kelantan FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur (KL) City dan Negeri Sembilan FC (NSFC) dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Terbaharu, Kelantan United turut terkena penyakit sama dengan tunggakan gaji mencecah empat bulan sejak Ogos lalu.

Selain meletakkan pemain dan pegawai pasukan dalam krisis kewangan, isu itu jelas mencemarkan imej Liga M yang dianggap sebagai antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 10:08 PM