STUART Ramalingam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
STUART Ramalingam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan kemelut tunggakan gaji yang dialami pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) adalah serius dan tiada lanjutan masa akan diberikan kepada pasukan itu untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata, apa yang dimaklumkan oleh KDA FC menerusi kenyataan media semalam bukan lanjutan masa penyelesaian gaji tertunggak, sebaliknya tambahan maklumat yang diperlukan First Instance Body (FIB) untuk dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) badan induk itu pada 6 Mac.

KDA FC menerusi kenyataan media semalam menyatakan menerima makluman daripada FIB bahawa kelab itu diberikan tempoh sehingga 5 Mac sebagai tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023 iaitu sebelum Mesyuarat BOD sehari selepas itu.

"Kami ada mesyuarat pada 6 Mac nanti, itu mesyuarat biasa, tapi kerisauan ahli lembaga pengarah adalah mengenai kedudukan Kedah dan kita meminta maklumat tambahan untuk diberi kepada ahli lembaga pengarah.

"Saya tak mahu buat spekulasi mengenai pengguguran Kedah (dari Liga Super) tapi ia adalah satu perkara yang sudah sampai ke tahap agak serius dan bukan perkara yang kami boleh beri lanjutan masa kerana kami tahu jumlah bulan yang belum dibayar gaji itu agak besar.

"Kami perlu juga lihat daripada kelangsungan liga, bukan kelangsungan satu pasukan saja. Untuk MFL mengeluarkan kalendar, kami perlu tahu jika ada slot tambahan lain (ke Liga Super) selain daripada satu slot untuk menggantikan Kelantan," katanya.

Jelas Stuart lagi, pihaknya perlu mendapatkan bukti yang sahih daripada KDA FC bahawa pembayaran tunggakan gaji pemain Kedah sudah diselesaikan dan pihaknya tidak boleh tergesa-gesa untuk mengambil tindakan.

"Macamana pun bukti bayaran secara tunai kita perlu lihat. Pihak yang 'looser'adalah pemain yang tak dapat gaji beberapa bulan dan pada masa kita dapat lihat bayaran (tunggakan gaji) boleh dapat, kita tutup (peluang Kedah), jadi kita pun kena praktikal dalam situasi sebegini," katanya.

Kenyataan media KDA FC semalam menyatakan pengurusan kelab itu yang diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan gaji dan dana berkenaan hanya akan ditunaikan seawal bulan April.

Sementara itu Stuart berkata, kemelut tunggakan gaji yang dialami Kuala Lumpur City (KL City) FC pula tidak serius seperti KDA FC.

"Kami sudah mendapat maklumat daripada Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak mencaturkan penyelesaian isu gajinya, itu perkara akan dibawa ke FIB juga untuk pertimbangan tapi pada masa ini tidak serius," katanya.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan beberapa pemain membabitkan kedua-dua pasukan itu mengakui masih tidak menerima tunggakan gaji yang sangkut sejak musim lalu.

Ada antara pemain di kelab terbabit terpaksa bekerja sambilan di restoran serta kantin, selain ada yang menyamakan diri mereka seperti pengemis yang terpaksa meminta-minta tunggakan gaji kepada pihak pengurusan.

Jika gagal, beberapa hukuman boleh diambil MFL antaranya pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah itu berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 1:20 PM