PENYERANG Brighton Joao Pedro (tengah) mengawal bola daripada dirampas pemain West Ham. FOTO AFP
PENYERANG Brighton Joao Pedro (tengah) mengawal bola daripada dirampas pemain West Ham. FOTO AFP
AFP

London: West Ham terlepas peluang merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 0-0 dengan Brighton di Stadium London, awal pagi tadi.

Walaupun berdepan krisis kecederaan dan penggantungan pemain di bahagian pertahanan, Seagulls berjaya mengelak gawang dibolosi dan sepatutnya berhak meraih tiga mata susulan prestasi lebih mantap pada babak kedua.

"Kami beraksi sangat baik," kata jurulatih Brighton, Roberto de Zerbi kepada BBC.

"Kami lebih berhak menang sebenarnya selepas beraksi dengan bijak kerana kami tahu West Ham sangat berbahaya dengan serangan balas pantas. Kami lebih fokus dan tidak dibolosi dengan cara itu.

"Kami mencipta lapan peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan saya sangat bangga dengan prestasi kami."

Brighton mendominasi 70 peratus penguasaan bola tetapi kurang menyengat pada penyudah terakhir.

Penjaga gol West Ham Alphonse Areola cemerlang menyelamatkan percubaan Danny Welbeck, Joao Pedro, Pascal Gross dan Adam Lallana sekali gus menceriakan penyokong Hammers.

Skuad David Moyes meraih 10 daripada 12 mata maksimum sepanjang musim perayaan tetapi masih ketinggalan enam mata di belakang kelompok empat teratas.

Tuan rumah sukar menembusi pertahanan pelawat tanpa Lucas Paqueta yang mengalami kecederaan dan Mohammed Kudus yang dinafikan peluang tampil dalam aksi kelab terakhir sebelum menyertai Piala Negara-Negara Afrika oleh Persekutuan Bolasepak Ghana.

Percubaan terbaik West Ham hadir menerusi James Ward-Prowse sebelum rehat namun diselamatkan Jason Steele.

Satu mata diraih cukup untuk Brighton memintas Manchester United di tangga ketujuh tetapi mereka kekal tiga mata di belakang West Ham yang menduduki tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 7:31 AM