WERNER dapat kepercayaan Spurs.
WERNER dapat kepercayaan Spurs.
AFP

London: Timo Werner kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pemain antarabangsa Jerman itu menyertai Tottenham secara pinjaman sehingga penghujung musim ini dari RB Leipzig.

Pemain berusia 27 tahun itu gagal menyerlah sepanjang dua tahun bersama Chelsea antara 2020 dan 2022 menerusi perpindahan bernilai £45 juta (RM247.96 juta).

Werner hanya menjaringkan 23 gol dalam 89 penampilan tetapi membantu Blues menjulang trofi Liga Juara-Juara 2021.

Namun kepulangan kali kedua di Leipzig turut tidak menjadi selepas kerap memanaskan bangku simpanan.

Spurs pula terdesak di bahagian serangan selepas kapten Son Heung-min meninggalkan pasukan untuk beraksi di Piala Asia manakala Ivan Perisic, Manor Solomon dan James Maddison turut tersisih akibat kecederaan.

"Banyak perkara menarik saya di sini," kata Werner kepada media Tottenham.

"Pertama, rundingan sangat baik dengan pengurus. Dia melahirkan keyakinannya kepada saya. Kami bercakap mengenai taktik, cara permainan dan lain-lain.

"Kemudiannya stadium. Beraksi di sana sesuatu yang istimewa dan juga kelab itu sendiri. Saya fikir kami memiliki beberapa pemain sangat bagus dan semua ini menarik minat saya."

Werner hanya menjaringkan dua gol dalam 14 perlawanan semua kejohanan musim ini dan dijangka tampil kali pertama aksi EPL ketika Tottenham berkunjung Manchester United Ahad ini.

Spurs berada di tangga kelima carta EPL, hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas dan enam mata di belakang pendahulu Liverpool.

Skuad Ange Postecoglou juga akan berdepan juara bertahan Manchester City dalam aksi pusingan keempat Piala FA bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:08 AM