DUA gol Chelsea berpunca daripada gerakan Werner. FOTO AFP
DUA gol Chelsea berpunca daripada gerakan Werner. FOTO AFP
AFP

Sheffield: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel memuji sumbangan Timo Werner ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan tangga terbawah, Sheffield United walaupun pemain antarabangsa Jerman itu masih belum meledak jaringan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 11 perlawanan.

Werner melakukan hantaran untuk membolehkan Mason Mount menjaringkan gol pembukaan dan juga memperoleh penalti yang disudahkan Jorginho, sekali gus membantu Chelsea kurang satu mata dengan kelompok empat teratas dalam kemenangan ketiga Tuchel selepas empat perlawanan mengendalikan pasukan.

"Apabila dia bermain seperti ini kami sangat gembira. Ini adalah langkah besar untuk maju ke depan. Jaringan pertama sangat menarik dan ia satu hantaran terbaik. Selepas ini dia akan menjaringkan gol," kata Tuchel.

Werner diletakkan dalam bangku simpanan pada dua aksi terakhir liga ketika Frank Lampard menjadi jurulatih sebelum bekas pemain antarabangsa England itu dipecat bulan lalu.

Salah satu sasaran Tuchel adalah menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai penyerang prolifik sama seperti di Leipzig dalam saingan Bundesliga.

Selain masih ketandusan jaringan, Werner sudah mula menunjukkan petanda memperoleh semula keyakinan ketika berdepan The Blades.

"Bagi diri saya sendiri, memang sekali lagi tidak dapat menjaringkan gol tapi rasa lega berjaya membantu pasukan dengan cara lain.

"Saya gembira apabila kami menang dan dengan dua hantaran menghasilkan jaringan namun sebagai penyerang anda perlu menjaringkan gol. Sudah lama saya tidak meledak jaringan dan saya tidak pernah melalui tempoh panjang seperti ini di dalam karier saya," kata Werner.

Chelsea sekarang semakin memberi tekanan Liverpoold alam mencari tempat ke Liga Juara-Juara musim lalu selepas penyandang juara itu tumpas 1-4 kepada Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 12:08 PM