ADISAK (kanan) belum pulih kecederaan pinggang.
ADISAK (kanan) belum pulih kecederaan pinggang.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) turun tanpa dua penyerang importnya, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut berdepan Sabah FC pada aksi kesebelas saingan Liga Super di Stadium Likas, malam esok.

Jelas pengendali skuad Penyu itu, Tomislav Steinbruckner, keputusan berkenaan terpaksa diambil susulan pemain import berkenaan mengalami kecederaan dan digantung satu perlawanan.

Ketiadaan penyerang 'kembar' itu bermakna tugas untuk menjaringkan gol bakal digalas seorang lagi penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah selain penyerang tempatan meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob.

"Penyerang kelahiran Croatia, Mamut terpaksa diketepikan selepas digantung satu perlawanan susulan menerima tiga kad kuning manakala penyerang kebangsaan Thailand, Adisak masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggang yang dialami.

"Ketiadaan dua penyerang import itu tidak begitu membimbangkan kerana kita masih mempunyai Mintah yang mampu bertindak menjaringkan gol sebagaimana aksinya sebelum ini.

"Kita harap aksi itu nanti mampu menghadirkan keceriaan buat kami bagi mengelak keciciran mata lagi selain sebagai suntikan semangat sebelum berdepan Kelantan FC pada aksi suku akhir Piala FA pada 27 Mei ini," kata pengendali kelahiran Croatia yang baharu musim pertama mengendalikan skuad Pantai Timur itu.

Mengulas ketiadaan penjaga gol tinggi lampai kebangsaan, Muhammad Rahadiazli Rahalim yang baharu pulih daripada kecederaan, pengendali yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu juga tidak begitu bimbang kerana dua lagi penjaga gol tidak kurang hebatnya.

Berdasarkan rekod, TFC yang bakal beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini baharu mengumpul 13 mata hasil sepuluh perlawanan dengan menghuni di tangga kelapan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 2:15 PM