PEREIRA  (kiri) meraikan jaringan West Brom. FOTO AFP
PEREIRA (kiri) meraikan jaringan West Brom. FOTO AFP
AFP

London: West Bromwich Albion mencerahkan sedikit peluang mereka untuk terus kekal dalam Liga Perdana selepas menewaskan Southampton 3-0 manakala harapan Everton menduduki kelompok empat teratas makin terjejas selepas seri 0-0 di Brighton.

VAR sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila jaringan Mbaye Diagne dibatalkan pada awal babak pertama di The Hawthorns, awal pagi tadi.

Tetapi skuad Sam Allardyce tetap garang dengan meledak dua gol sebelum rehat menerusi penalti Matheus Pereira dan rembatan Matt Phillips.

Callum Robinson mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut mereka dengan gol ketiga selepas rehat sekaligus mengekalkan momentum susulan kemenangan menakjubkan 5-2 di Chelsea.

Albion yang menduduki tangga kedua tercorot berada lapan mata di belakang Newcastle yang menduduki tempat keempat terakhir dengan baki tujuh perlawanan.

Baggies kini meledak lapan gol dalam dua aksi terakhir namun kebangkitan mereka mungkin agak terlambat bagi mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan.

"Kami meraih dua kemenangan sangat penting tetapi malangnya kami juga perlu mengharapkan pasukan lain kalah,'' kata Allardyce.

Di Stadium Amex, Everton hadir dengan harapan untuk merapatkan jurang dengan pasukan tangga keempat West Ham dalam misi layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tetapi skuad Carlo Ancelotti hanya mampu membuat satu percubaan tepat sekaligus kemarau kemenangan mereka berlanjutan ke lima perlawanan dalam semua kejohanan.

Brighton mendominasi hampir keseluruhan aksi namun ketumpulan penyudah mereka menyelamatkan pelawat daripada pulang tangan kosong.

Everton kini berada di tangga kelapan, tujuh mata di belakang West Ham tetapi berkelebihan satu perlawanan manakala Brighton melonjak tujuh mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:43 AM