Khairul Fahmi Che Mat menjalani latihan skuad kebangsaan.
Khairul Fahmi Che Mat menjalani latihan skuad kebangsaan.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat sah menyertai pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Sabah FC mengesahkan perkara itu menerusi perkongsian di laman sosial rasmi Facebooknya hari ini.

"Khairul Fahmi Che Mat is a Rhino! Welcome to the Land Below The Wind Bosku! (Khairul Fahmi kini skuad Sang Badak! Selamat datang ke Negeri di Bawah Bayu)," menurut perkongsian itu.

Sementara itu, jurucakap Sabah FC ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut dan pihaknya akan memberikan maklumat lebih terperinci sedikit masa lagi.

Khairul Fahmi, 32, bekas penjaga gol Melaka United antara tonggak skuad Harimau Malaya dikendalikan Datuk Ong Kim Swee, kini ketua jurulatih Sabah FC, yang mempertahankan pingat emas bola sepak pada pentas Sukan Sea 2011.

Selain Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek, tiga pemain kebangsaan iaitu perancang tengah Baddrol Bakhtiar, serta pemain pertahanan Dominic Tan dan Rizal Ghazali juga menyertai skuad kendalian Kim Swee musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 5:00 PM