AKSI antara Borussia Moenchengladbach dan Werder Bremen terjejas selepas penonton membaling syiling coklat. FOTO Agensi
AKSI antara Borussia Moenchengladbach dan Werder Bremen terjejas selepas penonton membaling syiling coklat. FOTO Agensi
Reuters

Berlin: Liga Bolasepak Jerman (DFL) mensasarkan menjual kepentingan hasil hak siaran media kepada pelabur luar tahun depan namun ia mendapat reaksi tidak puas hati daripada peminat.

Sebagai tanda protes mereka membaling syiling coklat sekali gus menyebabkan aksi Bundesliga terganggu.

Kelab bola sepak liga divisyen pertama dan kedua Jerman mengundi minggu ini untuk membenarkan pelabur mengambil bahagian dalam firma hak media, kerana liga di Eropah semakin menganggap pengaturan penyiaran sebagai cara untuk meningkatkan pendapatan dan jangkauan global.

DFL berkata ia bertujuan untuk memuktamadkan perjanjian bernilai antara €900 juta (RM4.5 bilion) hingga €1 bilion (RM5.1 bilion) menjelang akhir Mac, sebelum ia memberikan hak media untuk pasaran Jerman bagi 2025-2029.

Penyokong di seluruh Jerman mengumumkan rancangan untuk membantah langkah DFL menjual kepada pelabur luar, termasuk bantahan senyap selama 12 minit selepas sepak mula semasa perlawanan hujung minggu ini.

Peminat mengangkat sepanduk ketika keputusan seri 2-2 antara Borussia Moenchengladbach dan Werder Bremen, menyuarakan bantahan mereka.

Peminat Gladbach juga melemparkan syiling coklat yang dibalut dengan kertas emas ke atas padang selepas tamat bantahan senyap.

Dengan Werder mendahului 1-0, perlawanan dihentikan selama lima minit pada separuh masa pertama apabila kakitangan stadium, dibantu oleh pegawai terpaksa membersihkan padang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 9:24 PM