PEMAIN Harimau Malaya dijadual berdepan Syria pada 8 Januari depan sebelum bermula Piala Asia di Qatar. FOTO FB FAM
PEMAIN Harimau Malaya dijadual berdepan Syria pada 8 Januari depan sebelum bermula Piala Asia di Qatar. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Satu tolak, satu lagi mari!

Itu situasi membabitkan skuad Harimau Malaya apabila difahamkan pasukan Syria sedia menggantikan Arab Saudi yang membatalkan hasrat untuk berdepan Malaysia.

Perkara itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Syria di laman sosial mereka mengenai skuad itu akan menentang Kyrgyzstan pada 5 Januari depan sebelum aksi bertemu Malaysia pada 8 Januari.

"Pengurusan pasukan kebangsaan mengesahkan dua perlawanan persahabatan dengan Kyrgyzstan dan Malaysia dalam persiapan untuk Piala Asia 2023 di Qatar," jelas kenyataan badan induk bola sepak Syria itu.

Kesediaan pasukan di ranking ke-91 dunia itu membuktikan masih banyak negara terkuat Asia yang mahu berentap dengan anak buah Kim Pan-gon.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China pada September lalu yang menyaksikan Malaysia dan Syria terikat 2-2.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan aksi bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan.

Perlawanan pemanas badan itu yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari depan dibatalkan atas permintaan pengendali baharu Arab Saudi, Roberto Mancini.

Tindakan bekas jurulatih Itali itu kerana beliau membuat congakan pasukan kendaliannya itu berkemungkinan bertemu Malaysia di pusingan 16 terbaik, sekali gus enggan meneruskan aksi persahabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 6:07 PM