HTET Aung beraksi dalam 10 perlawanan bersama Negeri Sembilan musim 2023. FOTO Ihsan NSFC.
HTET Aung beraksi dalam 10 perlawanan bersama Negeri Sembilan musim 2023. FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas memberikan sumbangan lebih empat bulan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC), pemain sayap, Hein Htet Aung kembali semula ke pasukan asalnya Selangor FC (SFC) setelah berakhir tempoh pinjaman.

Pemain lincah berusia 22 tahun itu mula menyertai skuad Hobin Jang Hobin secara pinjaman pada awal Ogos lalu iaitu pada sesi perpindahan kedua saingan Liga Malaysia.

Jurucakap NSFC, memaklumkan Htet Aung sudah kembali ke SFC selepas tugasnya bersama Negeri Sembilan berakhir sebaik saingan Liga Super musim ini menutup tirainya pada 17 Disember lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, pemain sayap berasal dari Myanmar berkenaan telah beraksi dalam 10 perlawanan dan menjaringkan dua gol.

"Kami (NSFC) merakamkan ucapan terima kasih kepada pemain sayap, Hein Htet Aung yang kembali ke pangkuan Selangor FC setelah tamat tempoh pinjaman.

"Htet Aung telah beraksi dalam 10 perlawanan bersama skuad Jang. Walaupun dalam tempoh singkat, namun dia sudah memberi komitmen yang penuh semangat serta dedikasi sepanjang beraksi bersama Negeri Sembilan.

"Khidmat dan sumbangannya tetap bermakna dalam membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di tangga ke sembilan, musim ini," katanya di sini, hari ini.

Mengenai persiapan musim hadapan, jurucakap itu memaklumkan setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat dari segi barisan jurulatih dan pemain.

"Kedudukan barisan jurulatih dan pemain termasuk import bagi Negeri Sembilan untuk musim hadapan belum dimuktamadkan selepas kontrak mereka berakhir baru-baru ini," katanya.

Negeri Sembilan yang dibimbing K Devan menamatkan saingan Liga Super musim 2023 di tempat kesembilan carta liga dengan 27 mata hasil enam kemenangan dan sembilan seri berbanding tempat keempat pada musim 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 1:28 PM