KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
AFP

Paris: Ledakan hatrik penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe sudah cukup menghadiahkan kemenangan 3-0 ke atas Reims untuk meletakkan pasukannya kini sebagai pendahulu Ligue 1.

Sentuhan pemusnah Mbappe cukup klinikal di mana ketua pasukan Perancis itu tidak menunggu lama apabila 'mengamuk' seawal minit ketiga, sebelum menambah dua lagi gol masing-masing di minit 59 dan 82.

Mbappe yang ditemubual selepas aksi itu akui, gembira dapat membantu PSG meraih kemenangan di mana ia menyaksikan pasukan itu berada di tangga pertama liga selepas pencabar terdekat, Nice sekadar terikat di Montpellier semalam.

"Sebagai seorang penyerang, sudah tentu tugas saya adalah menjaringkan gol dan beraksi sebaik mungkin. Saya mahu kedua-duanya iaitu bermain dengan baik dan meledak gol.

"Objektif itu tercapai...namun perkara paling mustahak saya dapat membantu pasukan mencatat kemenangan kerana ia amat berharga dalam memburu kedudukan tempat teratas," katanya.

Ditanya mengenai kebangkitan dipamerkan PSG selepas kekalahan di tangan AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini, Mbappe menganggap ia adalah dua pertandingan berbeza.

"Ia adalah saingan yang berbeza dan apa yang kami mahu lakukan ialah menang. Keputusan seri (perlawanan babitkan Nice) yang bagus dan kami mahu mengambil tempat teratas. Ia sudah selesai dan kami gembira dengan itu.

"Kami mempunyai masa untuk memperbaiki persembahan di Liga Juara-Juara tetapi Ligue 1 adalah pertandingan yang berbeza, dan ini bermakna pemikiran yang berbeza, dan cara bermain yang berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 9:51 AM