FABREGAS (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
FABREGAS (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Paris: Cesc Fabregas menjaringkan gol kemenangan lewat permainan menerusi sepakan penalti ketika Monaco bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengejutkan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) 3-2 di saingan Ligue 1 hari ini.

Kylian Mbappe meledak dua gol pada babak pertama termasuk menyempurnakan sepakan penalti menentang bekas kelabnya itu sekali gus menyaksikannya meledak 99 gol untuk PSG dan pasukannya berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan kali kesembilan berturut-turut pada saingan liga.

Bagaimanapun pemain antarabangsa Jerman, Kevin Volland berjaya menjaringkan dua gol untuk Monaco pada separuh masa kedua dan Fabregas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-84 untuk memberikan kemenangan kepada Monaco.

PSG kekal di tangga teratas Ligue 1 namun kekalahan itu satu tamparan besar untuk skuad bimbingan Thomas Tuchel sebelum aksi Liga Juara-Juara bertemu RB Leipzig minggu depan.

"Saya lebih terkejut berbanding berasa marah," kata Tuchel yang turut kecewa menyaksikan jaringan Mbappe dan Moise pada separuh masa pertama dibatalkan.

"Saya menyaksikan dua babak yang berbeza. Pada separuh masa pertama kami jelas menguasai permainan dan kemudian babak kedua pula sangat berbeza. Saya hanya boleh katakan kami bertanggungjawab atas kekalahan ini."

Monaco di bawah bimbingan Niko Kovac naik di tangga kedua liga, empat mata ketinggalan di belakang PSG.

"Jika anda dapat bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatatkan kemenangan 3-2 sudah pasti ia sangat istimewa. Tetapi saya tidak mahu terlalu meraikannya," kata Kovac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:51 AM