MESSI (dua kiri) cuba mencabar pemain Nantes. FOTO AFP
MESSI (dua kiri) cuba mencabar pemain Nantes. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) menerima tamparan selepas menewaskan Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara apabila tewas 1-3 kepada Nantes di Ligue 1, hari ini.

Nantes yang sedang memburu tiket beraksi di pentas Eropah buat kali pertama sejak tampil di Piala Intertoto pada 2004, selesa dengan kelebihan 3-0 selepas berakhir babak pertama.

Neymar memberikan harapan kepada PSG dengan gol pertamanya sejak November tahun lalu pada minit ke-47 tetapi dia kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti minit ke-59.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino gagal memberikan tekanan kepada lawan sekali gus mengalami kekalahan kedua musim ini.

Bagaimanapun kelab gergasi itu masih unggul dengan kelebihan 13 mata di tangga teratas berbanding pasukan kedua liga, Marseille.

Ia adalah keputusan mengejutkan untuk PSG selepas gol kemenangan Kylian Mbappe pada lewat permainan menyaksikan mereka mempunyai kelebihan 1-0 ke atas Real Madrid pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Nantes kini melonjak di tangga kelima liga, hanya kurang empat mata berbanding Nice di tempat ketiga.

Pochettino membariskan Lionel Messi, Mbappe dan Neymar dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas tiga bulan.

Tetapi Nantes mendahului tiga jaringan selepas berakhir babak pertama menerusi gol Randal Kolo Muani minit ke-4, Quentin Merlin (m-16) dan sepakan penalti Ludovic Blas pada masa kecederaan babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 9:01 AM