LEAO (tengah) berjaya meledak gol pembukaan buat Milan. FOTO EPA
LEAO (tengah) berjaya meledak gol pembukaan buat Milan. FOTO EPA
Reuters

Milan: Pendahulu Serie A, AC Milan hanya mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri ketika berdepan Udinese namun mereka masih lagi mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kelebihan dua mata.

Udinese mempunyai peluang terbaik pada separuh masa pertama namun pendahulu liga, memecah kebuntuan pada minit ke-29 melalui penyerang antarabangsa Portugal, Rafael Leao.

Pelawat terus memberi tekanan selepas rehat dan berhak memperoleh gol penyamaan melalui Destiny Udogie pada minit ke-66.

Leao mempunyai peluang terbaik untuk membantu Milan mencatatkan kemenangan di hujung perlawanan namun percubaannya berjaya dikeluarkan dari atas garisan seterusnya memberikan kekecewaan buat mereka di San Siro.

Kegagalan Inter untuk menumpaskan Genoa membolehkan Milan untuk memiliki kelebihan dua mata di tangga teratas, manakala Udinese melonjak ke tangga ke-14.

Milan sekarang ini hanya mencatat dua kemenangan daripada enam aksi terakhir liga, dengan jurulatih, Stefano Pioli tidak gembira selepas gol penyamaan menafikan mereka mencatat kemenangan ke atas Udinese, apabila beliau mendakwa Udogie menggunakan tangan untuk menjaringkan gol.

"Pada pandangan saya ia bukan gol yang meragukan, jelas dia menjaringkan gol dengan menggunakan tangan. Pengadil tidak nampak tetapi kenapa Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak mengesannya.

"VAR wujud untuk memperbaiki kesilapan tertentu dan kami dihukum lebih daripada sekali musim ini. Mungkin Udinese akan tetap seri tetapi tidak dalam situasi ini, kerana gol itu dijaringkan oleh tangan," kata Pioli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 9:38 AM