PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir Kedua Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir Kedua Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun di atas kertas Johor Darul Ta'zim (JDT) berhak untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, namun lawan mereka Terengganu FC (TFC) tidak boleh dipandang sebelah mata kerana mempunyai kelebihan tersendiri.

Perkara itu diakui oleh bekas jurulatih berpengalaman negara, Mohd Azraai Khor Abdullah, yang menganggap skuad Penyu sudah menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa sehingga mengesahkan slot ke final selepas menumbangkan Kuala Lumpur City FC.

"Mereka (Terengganu) berhak ke final selepas melalui pusingan awal sehingga ke separuh akhir, secara matematik Terengganu memang layak (ke final). Bagaimanapun, di atas kertas untuk aksi final ia memihak kepada JDT malah di atas padang sekali pun," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Bagaimanapun, Azrai mengakui masih ada kelebihan buat Terengganu untuk melakar kejutan ke atas JDT menjelang aksi final yang berlangsung pada 9 Disember depan.

"Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil, persembahan Terengganu sudah meningkat terutama prestasi pemain import, Ivan Mamut yang pada awal rata-rata penyokong mengutuknya termasuk menggelar 'ayam daging'.

"Sekarang dia semakin serasi dengan tidak henti-henti meledak jaringan, malah semalam dia cemerlang dengan meledak dua gol," kata Azrai.

Tambahnya, pengendali JDT, Esteban Solari sudah pasti akan mencari taktik dan strategi untuk menyekat pergerakan Mamut yang semakin serasi dengan tonggak tempatan Terengganu.

"Kalau kita lihat Terengganu ketika di bawah kendalian Nafuzi Zain tahun lalu juga menunjukkan prestasi yang baik. Ia bersambung sehingga tahun ini ketika Tomislav Steinbruckner mengambil alih dengan menggandingkan pemain tempatan dan import.

"Tonggak muda tempatan Terengganu juga memainkan peranan dalam membawa kejayaan pasukan sampai ke tahap sekarang, jadi mereka mempunyai kelebihan yang perlu diawasi jurulatih JDT bagi mencatur setiap pergerakan supaya tidak kecundang," katanya.

Terengganu mengesahkan tempat ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas membenam cabaran KL City FC 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak semalam dan kemenangan itu menyaksikan skuad Penyu menang dengan agregat 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:10 PM