ZINEDINE Zidane. FOTO EPA-EFE
ZINEDINE Zidane. FOTO EPA-EFE
AFP

Madrid: Minggu lalu Zinedine Zidane menyatakan keinginannya untuk kekal di Real Madrid tetapi sejauh mana harapannya mampu menjadi kenyataan bergantung kepada keputusan pertembungan Liga Juara-Juara menentang Juventus.

Real berdepan bekas kelab Zidane itu pada pusingan pertama suku akhir awal pagi Rabu ini, dan masa depan pengendali dari Perancis itu ditentukan dengan kemaraan ke kelompok empat terakhir.

Perkara sama berlaku ketika pusingan sebelumnya menentang Paris Saint-Germain. Kempen mempertahankan gelaran La Liga yang semakin longlai, ditambah dengan penyingkiran awal dalam saingan Piala Raja Sepanyol, Real kini hanya mempunyai satu peluang untuk memenangi trofi utama musim ini.

Suasana di Madrid ketika ini bagaimanapun cukup positif. Real menang 10 daripada 11 perlawanan terakhir mereka, termasuk menyingkirkan PSG dan merapatkan jurang dengan Atletico Madrid di tangga kedua kepada empat mata.

Real juga mengumpul 36 gol sepanjang tempoh itu dengan purata lebih tiga gol setiap perlawanan.

“Ia satu lagi perlawanan, pertandingan berbeza, kami tahu kami perlu ke Juve dengan matlamat dan kami perlu ke sana untuk menjaringkan gol,” kata Zidane.

Bagi Juventus, yang menyingkirkan Tottenham dalam kelompok 16, ia peluang terbaik untuk menebus kekalahan tahun lalu dan kekal di landasan terbaik untuk mencatat sejarah treble.

Mereka memenangi kedua-dua gelaran Serie A dan Coppa Italia untuk tiga musim berturut-turut, tetapi gagal melengkapkan treble dengan kilauan trofi Liga Juara-Juara apabila dua kali tewas di final.

“Kami mempunyai cita-cita untuk menewaskan salah satu pasukan terbaik dunia, Real Madrid,” kata pengendali Juventus Massimiliano Allegri. “Ia akan menjadi perlawanan yang hebat, tetapi keutamaan kami adalah Serie A. Kami akan menentang Real Madrid dengan keazaman tinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 10:20 AM