AKSI pemain Sabah FC melepaskan rembatan ke gawang Hai Phong. FOTO Sabah Football Club
AKSI pemain Sabah FC melepaskan rembatan ke gawang Hai Phong. FOTO Sabah Football Club
Amirul Fazli Zulkalfi


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui dua gol awal dilepaskan pada separuh masa pertama ketika menentang Hai Phong FC ternyata mengganggu perancangan taktikal pasukannya untuk memburu kemenangan ketiga peringkat Kumpulan H dalam saingan Piala AFC.

Bagi Kim Swee, beliau menyedari bukan tugas mudah untuk mencatat kemenangan apabila perlu berhadapan dengan pasukan tuan rumah yang turut memburu tiga mata penting.

"Kami tahu Hai Phong perlu menang malam ini (semalam) untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya yang masih terbuka.

"Sudah pasti ini belum penamat. Mereka pasukan yang bagus tetapi pemain saya juga menunjukkan karakter bagus apabila ketinggalan 2-0, 3-1 dan kami cuba bangkit untuk dapatkan keputusan seri tetapi tidak berjaya melakukannya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Hanoi, semalam.

Pada masa sama, beliau turut akui beberapa pemain yang beraksi dengan pasukan kebangsaan seperti Dominic Tan, Daniel Ting dan Stuart Wilkin sedikit memberi kesan dari permainan namun mereka tetap memberi aksi baik dalam perlawanan berkenaan.

Terdaulu, hasrat Sabah FC untuk meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada tuan rumah, Hai Phong di tempat lawan sekali gus turun ke tangga kedua.

Tuan rumah memperoleh dua jaringan pantas melalui Nguyen Huu Son dan Dam Tien Dung pada minit ke-14 dan 18 sebelum Dinh Nghiem mengukuhkan jaringkan ketiga pada minit ke-72.

Anak buah Kim Swee pula memperoleh dua jaringan dari Ramon Machado minit ke-71 dan Gary Steven Robbat minit ke-80 namun tidak cukup untuk menghalang kemenangan pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:58 PM