HIDALGO sasar kembali beraksi bersama KDA FC pada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC, 28 Oktober ini. FOTO IZZALI ISMAIL
HIDALGO sasar kembali beraksi bersama KDA FC pada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC, 28 Oktober ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Hidalgo yakin dapat kembali beraksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, 28 Oktober ini.

Pemain sayap Argentina berusia 24 tahun itu terlepas dua aksi bersama Sang Kenari akibat kecederaan buku lali.

"Saya yakin dapat kembali beraksi pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan kerana masih memilki masa untuk kembali sembuh sepenuhnya sehingga hujung bulan ini.

"Saya sudah terlepas dua perlawanan sebelum ini dan pastinya tidak sabar untuk kembali beraksi membantu pasukan mencapai misi yang ditetapkan, jadi saya perlu lebih fokus mencapai tahap kecergasan terbaik," katanya ketika hadir menjayakan program Hari Pelanggan Pos Malaysia, hari ini.

Hidalgo juga yakin penyokong setia Kedah masih teguh berdiri dikala Sang Kenari mengalami kesukaran bagi memastikan misi menduduki tempat kedua liga dapat dicapai.

"Saya yakin penyokong tetap setia memberi sokongan dan hadir ke stadium walaupun hanya berbaki empat lagi perlawanan.

"Kami kekal positif selepas kekalahan di saingan Piala Cabaran apabila tewas kepada Kuching City minggu lalu dan kini masanya untuk kembali fokus meraih tangga kedua liga bagi kelayakan Piala AFC musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 8:35 PM