STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan perlawanan antara Kelantan FC dan Sabah FC yang tertunda akibat hujan lebat akan dilangsungkan pada satu tarikh yang sesuai selepas mengambil kira beberapa faktor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Kelantan FC selaku tuan rumah perlu memberi cadangan tarikh baharu dan pihak MFL akan berbincang dengan pihak pengurusan Sabah FC untuk melihat sama ada tarikh itu sesuai bagi diadakan perlawanan berkenaan atau sebaliknya.

Menurut beliau, beberapa perkara perlu diambil kira, antaranya Stadium Sultan Muhammad IV boleh digunakan pada waktu tersebut dan jadual perlawanan kedua-dua pasukan.

Sabah FC yang bermain di saingan Piala AFC sudah pasti mempunyai jadual yang agak padat sementara Kelantan FC masih mempunyai perlawanan di Piala Cabaran.

"Satu tarikh yang sesuai akan diadakan kerana Sabah bermain di Piala AFC dan juga terbabit dalam perlawanan penting di dalam liga.

"Disebabkan itu, kita (Pihak MFL) akan pastikan jarak perlawanan adalah teratur dan berharap Stadium Sultan Muhammad IV boleh digunakan pada waktu yang dicadangkan itu," katanya.

MFL akan mengumumkan tarikh baharu perlawanan tertunda itu selewat-lewatnya esok selepas mengadakan mesyuarat hari ini.

Terdahulu, perlawanan Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu lalu antara tuan rumah, Kelantan FC dan Sabah FC terpaksa dilewatkan hampir 40 minit sebelum keputusan diambil untuk menunda perlawanan ke tarikh lain akibat hujan lebat pada hari perlawanan.

Faktor utama diambil kira kerana berkait keadaan padang yang boleh menjejaskan rentak perlawanan dan berisiko memberi kecederaan kepada pemain.

Pengendali kedua pasukan, Alfredo Vera dan Datuk Ong Kim Swee bersetuju selepas melihat keadaan padang digenangi air dan hujan masih berterusan pada waktu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 10:18 PM