KAKITANGAN stadium memeriksa saluran air hujan selepas perlawanan Liga Super antara pasukan Kelantan FC menentang pasukan Sabah telah ditunda. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KAKITANGAN stadium memeriksa saluran air hujan selepas perlawanan Liga Super antara pasukan Kelantan FC menentang pasukan Sabah telah ditunda. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Aksi Liga Super antara Kelantan FC menentang Sabah FC yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, malam ini ditunda akibat hujan lebat.

Terdahulu, perlawanan yang sepatutnya berlangsung jam 9.00 itu tertunda sehingga jam 9.40 malam sebelum pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) mengumumkan perlawanan ditunda pada tarikh lain.

Keputusan dibuat Komisioner Perlawanan, Azhar Ahmad selepas perbincangan bersama Komisioner Umum, Hasbullah Ibrahim, pegawai perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih dan Penilai Pengadil, Rosdi Shahrul.

Ketua jurulatih kedua pasukan, Alfredo Vera dan Datuk Ong Kim Swee turut bersetuju dan akur dengan situasi padang yang digenangi air dan hujan yang masih berterusan.

Tindakan menunda perlawanan turut berkait keadaan padang yang boleh menjejaskan rentak perlawanan dan berisiko memberi kecederaan kepada pemain.

Pihak pengurusan turut memberitahu satu tarikh baharu akan diumumkan pihaknya bagi aksi Liga Super ke 22 itu.

Keputusan menunda perlawanan turut dimuatnaik di laman rasmi TRW Kelantan FC pada jam 10.06 malam tadi.

Sebelum ini, dua perlawanan di SSMIV, Kota Bahru turut tertunda akibat hujan lebat membabitkan perlawanan Kelantan FC menentang Terengganu FC pada 14 Ogos dan Kelantan United Football Club (KUFC) melawan Kuching City FC pada 4 September lalu.

Pengurusan memaklumkan penonton yang membeli tiket pada hari ini boleh menyimpan tiket untuk perlawanan yang akan digantikan pada satu tarikh lain oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:45 PM