MBAPPE meraikan kejayaan menyempurnakan penalti buat PSG dalam aksi Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
MBAPPE meraikan kejayaan menyempurnakan penalti buat PSG dalam aksi Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
AFP

Paris: Penalti Kylian Mbappe pada minit ke-98 membolehkan Paris Saint-Germain melakarkan keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Newcastle United awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan kelab Perancis meletakkan mereka dalam kedudukan selesa untuk layak ke pusingan 16 terakhir ketika Newcastle berada dalam bahaya untuk tersingkir di peringkat kumpulan.

Perlawanan kelihatan seperti memihak kepada Newcastle yang menang 4-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu di St James Park bulan lalu dan akan meninggalkan Paris dengan ketiga mata dalam aksi pertemuan Kumpulan F hasil gol pembukaan Alexander Isak pada minit ke-25.

PSG seperti sudah buntu mencari gol namun mereka diberi peluang menyelamatkan perlawanan dengan keputusan seri pada masa kecederaan apabila VAR memutuskan bola yang terkena tangan Tino Livramento di dalam kotak layak menerima penalti.

Mbappe tidak membuat kesilapan untuk memastikan PSG yang kini berada tempat kedua kumpulan di belakang Borussia Dortmund yang menang 3-1 di tempat lawan mengatasi AC Milan, mara ke pusingan 16 terakhir.

Juara Perancis itu akan mengesahkan tempat jika menang di Dortmund dalam perlawanan terakhir kumpulan manakala Newcastle kini perlu menang di tempat sendiri mengatasi Milan dan berharap PSG tewas.

"Saya rasa ia keputusan yang mengecewakan," kata pengurus Newcastle, Eddie Howe mengenai penalti itu.

"Ia amat mengecewakan kami kerana pada masa itu anda tahu hanya tinggal sedikit masa dalam permainan tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan sekarang."

Skuad Howe perlu menang untuk membolehkan mereka kekal dalam persaingan manakala PSG perlu mengelak kekalahan ketiga dalam lima perlawanan kumpulan jika tidak ingin tersingkir buat kali pertama dari Liga Juara-Juara sebelum pusingan 16 terakhir.

"Kami patut menang, tanpa ragu-ragu. Saya fikir ia adalah persembahan yang sangat sempurna daripada kami," kata jurulatih PSG, Luis Enrique.

"Kami lebih baik daripada Newcastle tetapi itulah bola sepak," tambahnya sebelum mendakwa dia tidak melihat insiden penalti penting itu.

"Saya tidak meletakkan diri berharap dengan keputusan VAR. Saya hanya memberi perhatian meningkatkan pasukan saya."

PSG kerap bergelut dalam aksi Liga Juara-Juara sejak sedekad lalu tetapi tidak seteruk seperti musim ini dan gol lewat Mbappe - gol ke-17nya musim ini berjaya mengeluarkan mereka dari bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 8:18 AM