RONALDO bakal memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama. FOTO AFP
RONALDO bakal memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama. FOTO AFP
Reuters

Hong Kong: Pemenang Liga Juara-Juara Eropah lima kali, Cristiano Ronaldo akan memulakan usahanya untuk menambah satu lagi gelaran benua minggu depan apabila Al Nassr memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia menentang naib juara 2020, Persepolis.

Pemain antarabangsa Portugal, yang memenangi kejuaraan Eropah bersama Manchester United dan Real Madrid, dan sejumlah pemain berprofil tinggi lain yang terpikat untuk beraksi di Liga Pro Saudi, bakal menambah kehangatan dalam saingan kelab utama Asia apabila kejohanan itu bermula minggu ini.

Al-Nassr adalah salah satu daripada 40 kelab dari 20 liga di seluruh Asia yang diundi dalam 10 kumpulan berdepan antara satu sama lain mulai Isnin, dengan hanya juara kumpulan terjamin mara ke pusingan kalah mati dalam usaha merebut hadiah utama AS$4 juta (RM18.7 juta).

Jumlah itu nampaknya tidak penting berbanding pelaburan yang dibelanjakan oleh kelab Arab Saudi untuk memperoleh sekumpulan pemain berbakat dan berpengalaman dalam usaha untuk memperkukuh liga yang sudah pun menjadi antara yang terbaik di Asia.

Al-Hilal, yang menandatangani Neymar dari Paris Saint-Germain dengan harga €90 juta (RM449 juta) Ogos lalu, adalah kelab paling berjaya dalam kejohanan itu, dengan memenangi gelaran empat kali dan tewas dalam perlawanan akhir edisi lalu kepada Urawa Red Diamonds dari Jepun.

Dibimbing oleh Jorge Jesus dari Portugal, skuad yang berpangkalan di Riyadh itu dibarisi 12 pemain yang mewakili Arab Saudi pada Piala Dunia lalu dan diperkuatkan lagi dengan pembelian Aleksandar Mitrovic, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic.

Al Hilal memulakan kempen mereka pada Isnin dengan menentang Navbahor dari Uzbekistan dalam Kumpulan D - yang turut menampilkan Mumbai City dan Nassaji Mazandaran (Iran).

Mereka dijangka akan menurunkan sehingga enam pemain import selepas peraturan mengenai pemain luar negara dilonggarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Al Ittihad pimpinan Karim Benzema, juara bertahan Liga Pro Saudi, akan berusaha untuk memenangi kejuaraan Asia pertama mereka sejak 2005 dan melancarkan kempen mereka menentang AGMK dari Uzbekistan sebelum menentang Sepahan (Iran) dan Air Force (Iraq) dalam Kumpulan C.

Kelab Arab Saudi dijangka mendominasi separuh undian Asia Barat dengan kelab Jepun cuba mengekalkan kedudukan unggul di bahagian timur.

Urawa akan bertemu juara China, Wuhan Three Towns dalam aksi pembukaan Kumpulan J mereka pada hari Rabu selepas juga diundi dengan Pohang Steelers dan Hanoi FC manakala penyandang gelaran Liga J, Yokohama F Marinos memulakan kempen mereka menentang Incheon United.

Sementara itu, Kawasaki Frontale, berdepan perlawanan pembukaan sukar menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dari Malaysia dalam Kumpulan I, yang turut menampilkan pemenang dua kali Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum United (Thailand).

Peringkat kumpulan pertandingan, yang terakhir di bawah format semasa, berlangsung sehingga 13 Disember dengan pusingan kalah mati bermula pada 12 Februari, dengan perlawanan akhir akan dimainkan pada 11 dan 18 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 8:40 PM