GARCIA belum menepati kehendak pengurusan kelab.
GARCIA belum menepati kehendak pengurusan kelab.
Agensi

Riyadh: Jurulatih Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi, Al Nassr diberikan satu lagi perlawanan untuk menyelamatkan jawatannya, menurut sumber kepada ESPN.

Rudi Garcia, 59, bekas jurulatih Roma dan Lyon mengendalikan Al Nassr sejak Jun 2022 tetapi walaupun membawa kelabnya menang tujuh daripada lapan aksi terakhir Liga Pro Saudi, kegagalannya meraih kedudukan pendahulu mengakibatkan dia kini berjuang menyelamatkan masa depannya di kelab itu.

Laporan mengenai hubungan dingin di antara Garcia dan Ronaldo yang menyertai Al Nassr pada Disember selepat menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama turut meningkatkan tekanan ke atas pengendali dari Perancis itu.

Al Nassr yang ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Al Ittihad akan menentang musuh tradisi yang juga juara Asia, Al Hilal pada perlawanan seterusnya minggu depan.

Sumber memberitahu ESPN, Garcia perlu memastikan kemenangan ke atas Al Hilal jika tak mahu dipecat.

Garcia adalah jurulatih paling lama bertahan setakat ini berbanding majoriti jurulatih di Liga Pro Saudi yang mencatatkan antara pemecatan paling tinggi di dunia dengan kebanyakan jurulatihnya hanya mampu memegang jawatan tidak sampai empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 1:25 PM