PEMAIN negara melepasi kawalan dua pemain Bangladesh. FOTO FAM
PEMAIN negara melepasi kawalan dua pemain Bangladesh. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara E Elavarasan menarik nafas lega apabila barisan anak buahnya mampu melepasi halangan pertama menerusi kemenangan 2-0 bertemu Bangladesh pada kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024, petang semalam.

Elavarasan berkata, barisan anak buahnya beraksi sebagai satu pasukan sekali gus menjadi kunci kemenangan menentang Bangladesh.

Beliau berkata, Bangladesh bukanlah pasukan yang boleh dipandang remeh kerana mempunyai barisan pertahanan mantap sekali gus sukar buat penyerang negara mencipta jaringan pada awal babak permainan.

"Perkara paling penting adalah dapat mengumpul tiga mata pada perlawanan pertama. Kita akan lihat perlawanan seterusnya supaya pasukan dapat mencipta keputusan positif.

"Secara keseluruhan, barisan pemain beraksi sebagai satu pasukan. Pada awalnya, sukar dapat gol kerana mereka (Bangladesh) cukup baik bertahan," katanya.

Skuad muda negara membuka kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 di Stadium Chonburi, Thailand, petang semalam.

Namun bukan mudah meraih kemenangan itu kerana mereka dipaksa bermandi peluh selepas bergelut untuk memecah kebuntuan jaringan dalam aksi pertama Kumpulan H itu.

Harimau Malaya B-23 terpaksa menunggu hingga minit ke-81 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh daripada Aliff Izwan.

Jaringan itu menjadi pencetus semangat kepada barisan pemain muda negara dengan Fergus Tierney kemudian mengesahkan kemenangan apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 12:56 PM