ELAVARASAN (kiri) bersama pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjawab soalan ketika ditemui media sebaik tiba di ibu negara, semalam. FOTO FB FAM
ELAVARASAN (kiri) bersama pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjawab soalan ketika ditemui media sebaik tiba di ibu negara, semalam. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, E Elavarasan tidak kisah atau goyah terhadap kecaman bertubi-tubi termasuk mendesaknya meletak jawatan susulan prestasi hambar pada kempen Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand, baru-baru ini.

Elavarasan berkata, pihak berkenaan seharusnya faham bahawa barisan kejurulatihan memerlukan masa untuk membina pasukan hebat dalam usaha meraih keputusan positif pada penyertaan kejohanan luar negara.

Beliau berkata, barisan anak buahnya sudah mempamerkan aksi terbaik dengan berusaha keras memastikan kemenangan, sekali gus mampu mengesahkan tiket ke Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan.

"Untuk saya tak ada masalah. Seperti yang saya katakan sebelum ini, proses membina satu pasukan yang kuat memerlukan masa.

"Jika nak bercerita mengenai merit pun saya tak ada masalah. Apa yang penting perlawanan pertama dan kedua barisan pemain berjaya meraih kemenangan.

"Saya sangat berterima kasih kepada barisan pemain kerana mereka beraksi dengan baik pada perlawanan tempoh hari," katanya.

Terdahulu, skuad B-23 negara sah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei tahun depan selaku empat pasukan naib juara terbaik.

Di peringkat kelayakan, skuad negara menang 2-0 dengan Bangladesh dan 4-0 ke atas Filipina sebelum tewas 0-1 di tangan Thailand.

Prestasi hambar barisan pemain muda negara dikecam penyokong bola sepak tanah air sehingga mahukan bekas pengendali Sarawak United itu melepaskan jawatan selaku jurulatih skuad B-23 negara dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Elavarasan yang juga pembantu kepada pengendali skuad Harimau Malaya berkata, walaupun menerima pelbagai kecaman, beliau tetap percaya barisan kejurulatihan ketika ini berupaya untuk membawa pasukan muda negara mengharungi Piala Asia B-23 tahun depan.

"Secara peribadi saya nak bertanya adakah pemain kita sekarang ini mempunyai kualiti untuk mengharungi Piala Asia B-23?

"Jika ada sudah pasti kami (barisan kejurulatihan) turut mempunyai kualiti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 1:01 PM