PENYERANG skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin (jersi no 10) cuba melepasi pemain Thailand pada perlawanan malam tadi. FOTO FB FAM
PENYERANG skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin (jersi no 10) cuba melepasi pemain Thailand pada perlawanan malam tadi. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, E Elavarasan mengakui anak buahnya mempunyai banyak peluang, namun tidak diterjemah kepada gol menyebabkan mereka kempunan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata menentang Thailand, malam tadi.

Elavarasan berkata, barisan pemainnya beraksi dengan baik apabila sering melancarkan serangan ke kubu lawan selain turut dihidangkan banyak peluang.

Katanya, hanya sedikit kesilapan, skuad muda negara dihukum dengan satu gol pada babak pertama perlawanan, sekali gus terlepas peluang untuk menjadi juara Kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Saya fikir ini adalah perlawanan agak genting kerana perlu menentukan siapa menang dan kalah.

"Kami mempunyai banyak peluang dengan pemain berusaha sebaik mungkin, namun peluang yang ada tidak dimanfaatkan.

"Kami sepatutnya tidak melepaskan gol, namun apabila lawan menjaringkan gol, pemain mula bangkit dengan berusaha menyamakan kedudukan," katanya.

Kekalahan itu menyebabkan mereka hampir kempunan untuk beraksi di Piala Asia B-23 di Qatar pada April tahun depan apabila menamatkan saingan kelayakan di tangga kedua kumpulan, manakala Thailand selaku juara kumpulan.

Bagaimanapun, skuad negara bernasib baik layak ke Qatar selepas muncul empat naib juara kumpulan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 12:45 PM