TIERNEY (tengah) bersedia gempur kubu Filipina. -FOTO FAM
TIERNEY (tengah) bersedia gempur kubu Filipina. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang berbisa skuad bawah 23 (B-23) tahun negara Fergus Tierney tidak kisah berapa gol bakal dijaringkan pasukan negara asalkan berjaya meraih kemenangan perlawanan kedua kumpulan H kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 menentang Filipina, esok.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Scotland itu berkata, kemenangan menentang Bangladesh tempoh hari meniup semangat barisan pemain untuk mempamerkan aksi lebih mantap sekali gus mencipta keputusan positif bertemu Filipina.

Malah, Tierney berkata, sokongan daripada penyokong bola sepak tempatan juga membantu barisan anak buah E Elavarasan mencipta kemenangan seterusnya menempah tiket ke pentas Piala Asia tahun depan.

"Perlawanan menentang Bangladesh kita menang walaupun tak jaringkan gol banyak namun perkara penting adalah dapat tiga mata.

"Lawan Filipina pula, saya tak fikir berapa banyak kita nak jaringkan gol kerana mahu kemenangan memihak kepada pasukan saja," katanya.

Sebelum itu, skuad muda negara membuka kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 di Stadium Chonburi, Thailand, petang Rabu lalu.

Harimau Malaya B-23 terpaksa menunggu hingga minit ke-81 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh daripada Aliff.

Jaringan itu menjadi pencetus semangat kepada barisan pemain muda negara dengan Tierney kemudian mengesahkan kemenangan apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Selain itu, Tierney juga antara peledak utama skuad muda negara pada saingan Piala AFF B-23 lalu apabila meledak dua gol ketika bertemu Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:11 PM