SKUAD B-23 negara giat menjalani latihan. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara giat menjalani latihan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sasaran untuk beraksi di pentas Final Sukan Sea Kemboja yang akan berlangsung pada Mei ini tidak menyebabkan barisan pemain cepat goyah atau 'pening kepala' untuk merealisasikannya.

Pertahanan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Azam Azmi Murad berkata, temasya Sukan Sea Kemboja adalah detik terbaik bagi pasukan bola sepak negara untuk menamatkan kemarau pingat emas.

Azam berkata, barisan pemain sudah bersedia untuk menggalas cabaran terbabit walaupun bakal mendapat tentangan sengit daripada beberapa negara lain seperti Thailand dan Vietnam.

"Ini tahun kedua saya bersama pasukan skuad B-22 dan kita berjaya mara ke pusingan separuh akhir Sukan Sea sebelum ini. Jadi tahun ini saya dan rakan sepasukan sasar untuk menjadi juara Sukan Sea.

"Berdasarkan kualiti barisan pemain yang kita ada, saya percaya peluang untuk muncul juara tidak mustahil," kata pertahanan Terengganu FC (TFC) itu.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk skuad kendalian E Elavarasan untuk sekurang-kurangnya beraksi di peringkat final Sukan Sea Kemboja.

Walaupun dilihat sasaran menggunung yang diletakkan ke atas bahu skuad B-23 negara untuk mara ke final acara bola sepak Sukan Sea 2023 namun Elavarasan menganggapnya sebagai cabaran yang realistik untuk dicapai.

Elavarasan percaya anak buahnya mampu merealisasikan sasaran itu berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan sekali gus memperbaiki pencapaian edisi 2021 di Hanoi.

Sebagai rekod, skuad B-23 gagal menyumbangkan sebarang pingat pada temasya di Hanoi apabila dikecewakan Indonesia 3-4 menerusi sepakan penalti penentuan dalam perebutan pingat gangsa.

Malah, mereka gagal menempah tiket ke final apabila tewas 0-1 di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 12:49 PM