LAVIA turut diintai Liverpool FOTO REUTERS
LAVIA turut diintai Liverpool FOTO REUTERS
Agensi

London: Chelsea bersetuju dengan bayaran £53 juta (RM312 juta) serta tambahan £5 juta (RM29.4 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Southampton, Romeo Lavia.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang pernah melakukan satu penampilan bersama skuad senior Belgium, masih belum menjalani pemeriksaan perubatan sebelum berhijrah ke Stamford Bridge.

Lavia melakukan 34 penampilan dalam semua pertandingan pada musim lalu tetapi tidak dapat menyelamatkan Saints tersingkir dari Liga Perdana.

Liverpool juga membida untuk mendapatkan Lavia tetapi pemain itu menjadi sasaran kedua yang kelab itu terlepas kepada Chelsea selepas Moises Caicedo.

Chelsea melengkapkan pembelian pemain tengah Ecuador, Caicedo, 21, semalam dengan bayaran perpindahan £100 juta (RM588.8 juta) serta boleh melakar sejarah rekod perpindahan Britain sebanyak £115 juta (RM677 juta).

Bidaan kali ketiga Liverpool untuk mendapatkan Lavia, yang dipercayai bernilai kira-kira £46 juta (RM270.8 juta), ditolak oleh Southampton minggu lalu.

Lavia hadir menerusi sistem akademi remaja di Anderlecht sebelum dia berpindah ke Manchester City pada 2020 selepas bakatnya disaksikan Pep Guardiola pada kejohanan di Belgium.

Pemain muda itu hanya membuat dua penampilan bersama skuad senior City iaitu dalam saingan Piala FA dan Piala Carabao ketika dia bergelut untuk menembusi skuad utama dan menyertai Saints pada Julai 2022 dengan harga £10.5 juta (RM61.8 juta).

City dipercayai mempunyai pilihan untuk membeli semula Lavia namun ia tidak berkuat kuasa sehinggalah musim panas seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:59 AM