REAKSI pemain PSG selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
REAKSI pemain PSG selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) memulakan misi mempertahankan kejuaraan Ligue 1 apabila sekadar seri 0-0 di tempat sendiri menentang Lorient, awal pagi tadi, ketika Kylian Mbappe hanya menonton dari tempat duduk selepas isu kontraknya belum selesai.

Selepas musim panas yang menyaksikan perubahan di Parc des Princes apabila terdapat banyak muka baharu serta pemergian Lionel Messi, kisah Mbappe terus menjadi tumpuan utama.

Kapten Perancis itu enggan menandatangani lanjutan kontrak bersama PSG sekali gus bermakna dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma tahun depan, dengan Real Madrid sudah lama dilihat sebagai destinasi pilihannya.

PSG mahu menjualnya sekarang dan mendapatkan bayaran perpindahan yang besar untuk pemain itu yang menelan belanja 180 juta euro (RM906.3 juta) dari Monaco pada 2017.

Jurulatih baharu, Luis Enrique berharap jalan penyelesaian berhubung isu itu dapat ditemui, tetapi Mbappe tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan utama dan diketepikan daripada skuad ketika berdepan Lorient.

Dia dilihat duduk bersama rakan pemenang Piala Dunia 2018, Ousmane Dembele, yang melengkapkan perpindahannya dari Barcelona, ketika Luis Enrique memberi kepercayaan kepada enam pemain melakukan penampilan sulung mereka.

Goncalo Ramos membarisi barisan serangan bersama-sama Marco Asensio dan Lee Kang-in, manakala Milan Skriniar dan Lucas Hernandez memperkuatkan barisan pertahanan dan pemain Uruguay, Manuel Ugarte membarisi bahagian tengah.

Neymar terlepas aksi pembukaan kerana jangkitan virus, dan kelab itu dilaporkan terbuka untuk menjualnya serta seorang lagi pemain Brazil, Marco Verratti sekiranya memperoleh tawaran menarik.

Enrique ketika ditanya berhubung Mbappe selepas tamat perlawanan enggan mengulas lanjut.

"Saya tiada apa-apa hendak diperkatakan mengenai perkara itu. Saya sudah memberitahu anda semalam pandangan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 9:19 AM