NEYMAR (kanan) menerima cabaran daripada pemain Lorient. FOTO AFP
NEYMAR (kanan) menerima cabaran daripada pemain Lorient. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) mengalami kekalahan pertama di bawah bimbingan Mauricio Pochettino selepas Lorient bangkit untuk melakar kemenangan 3-2 sekali gus membolehkan Lille menduduki tangga teratas Ligue 1.

Neymar menyempurnakan dua sepakan penalti namun pelawat gagal mempertahankan kedudukan itu di Stade du Moustoir apabila Terem Moffi menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

PSG jatuh di tangga ketiga, satu mata di belakang Lyon yang menduduki tempat kedua dengan Lille berkelebihan dua mata selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Dijon.

"Kami perlu kekalkan aspek positif dan terus memandang ke depan," kata bekas pengurus Tottenham itu.

"Perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak. Kami perlu terus bekerja keras. Ia menyedarkan kami bahawa apa sahaja boleh berlaku jika kami tidak beraksi 100 peratus."

Ia adalah kekalahan pertama PSG sepanjang enam perlawanan di bawah bimbingan Pochettino sejak mengambil alih tugas jurulatih daripada Thomas Tuchel.

Kemenangan itu membolehkan Lorient berada di kedudukan untuk aksi playoff penyingkiran.

"Gol Moffi sangat menakjubkan. Lebih-lebih lagi ketika menentang PSG," kata Laurent Abergel yang meledak gol pertama Lorient.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 9:01 AM