REAKSI Kane ketika beraksi di Piala Super Jerman. FOTO AFP
REAKSI Kane ketika beraksi di Piala Super Jerman. FOTO AFP
AFP

Munich: Harry Kane mengalami kekalahan sulung bersama Bayern Munich apabila pasukan baharunya itu tewas 0-3 kepada RB Leipzig di Piala Super Jerman, awal pagi tadi, hanya beberapa jam selepas mengesahkan perpindahan dari Tottenham.

Dani Olmo menyerlah pada perlawanan itu apabila meledak hatrik di Munich ketika impian Kane untuk merangkul piala utama pertamanya musnah.

Kane masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-64 ketika Bayern sudah ketinggalan 0-2 dengan Olmo melengkapkan hatriknya tidak lama kemudian.

Nasib menimpa kapten England itu mendapat simpati jurulatih Bayern, Thomas Tuchel.

"Saya minta maaf kepada Harry Kane, dia mungkin fikir kami sudah empat minggu tidak berlatih," kata Tuchel yang mengakui dia kehabisan kata-kata susulan prestasi hambar juara Jerman itu.

"Ia menakutkan, tidak dapat dijelaskan. Situasi sama berlaku musim lalu dan jelas kami beraksi hambar lagi hari ini." katanya lagi.

Kane yang juga penjaring terbanyak England, menyertai Bayern dari Tottenham dengan nilai perpindahan berjumlah 100 juta euro (RM503.3 juta).

Peminat Bayern sanggup beratur beberapa jam sebelum sepak mula untuk mendapatkan jersi yang bercetak 'Kane 9' di kedai kelab itu.

Kane, yang diberi nombor sembilan ditinggalkan Robert Lewandowski, sebelum ini menyatakan di media sosial bahawa dia tidak sabar untuk beraksi selepas turun pada sesi latihan pertamanya bersama Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:21 AM