KANE tampil dalam aksi sulung bersama Bayern. FOTO AFP
KANE tampil dalam aksi sulung bersama Bayern. FOTO AFP
AFP

Bremen: Pengurus Bayern Munich Thomas Tuchel memuji penyerang England, Harry Kane selepas penampilan sulungnya di Bundesliga berakhir dengan kemenangan 4-0 di tempat lawan di Werder Bremen.

Tuchel, yang memainkan peranan penting dalam membawa kapten England ke Munich, memuji penyerang yang menjaringkan satu gol dan terbabit dalam satu lagi jaringan dalam perlawanan Bundesliga pertamanya.

"Dia mempunyai pengaruh yang berterusan. Dia sangat, sangat bijak. Dia tahu apa yang dia lakukan dan sangat tepat," kata Tuchel.

Kane mencipta gol untuk Leroy Sane selepas hanya tiga minit, sebelum dia sendiri menjaringkan pada pertengahan separuh masa kedua untuk melengkapkan kemenangan.

"Dalam latihan, gaya dan cara dia melakukan sesuatu di atas padang, berapa banyak keinginan dia untuk berlatih, berapa banyak keseronokan yang dia tunjukkan dan kualiti yang dia ada, ia benar-benar terbaik, dia mengagumkan," kata Tuchel.

Kane tiba sebagai penjaring gol terbanyak Tottenham dan England tetapi Tuchel berkata kreativiti penyerang itu sangat menyerlah.

"Dia menjadikan setiap pemain di sekelilingnya lebih baik kerana kesedarannya.

"Ia adalah penampilan pertama yang sangat, sangat baik," katanya.

Kane, yang mendapat tepukan ketika berbaki lima minit, berkata dia memperoleh permulaan yang sangat menggembirakan untuk musim baharu bersama kelab baharunya.

"Gol awal jelas membantu. Kami bertahan dengan lebih baik. Tanpa bolos juga membuatkan saya sangat gembira," kata Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 10:21 AM