BERNHARDT menanti tiket penerbangan pulang ke tanahairnya dari TRW. FOTO NSTP
BERNHARDT menanti tiket penerbangan pulang ke tanahairnya dari TRW. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ia saya ada tinggal dua malam di sebuah bilik kecil yang ada bilik air dan katil."

Itu pengakuan bekas jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt yang mengakui terkontang-kanting apabila masih menanti tiket penerbangan pulang ke tanahairnya di Jerman selepas dipecat daripada skuad The Red Warriors (TRW).

Jelas Bernhardt, beliau ada menghubungi bekas pegawai pasukan dalam TRW bagi mendapatkan perlindungan untuk beberapa hari.

"Saya ada berjumpa dan tinggal dua hari di rumah Iskandar (bekas pegawai pasukan TRW). Ia sebuah bilik yang macam stor tapi ada katil dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau sehingga kini masih menanti tiket penerbangan daripada TRW yang masih belum diterima.

"Saya dah dapat gaji penuh daripada Kelantan FC dan tidak ada masalah mengenai gaji dan semuanya dah selesai.

"Cuma saya masih belum dapat tiket penerbangan pulang dan saya mahu menunggu sehingga ia dapat kerana saya tidak mahu pulang (ke Jerman) dan sudah tentu saya tak tahu bila akan dapat duit tiket kapal terbang itu lagi," katanya yang pernah membimbing skuad bawah 23 tahun negara dari 2015-2017.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan seorang jurulatih berstatus import dalam saingan Liga Super ketika ini hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, pengendali yang baharu dipecat oleh sebuah pasukan di Liga Malaysia (Liga M) itu terpaksa tinggal di sebuah stor milik rakannya sementara berusaha mencari dana untuk pulang ke negara asalnya.

Menurut beberapa sumber terdekat, jurulatih terbabit tidak terus pulang ke negaranya kerana masih menunggu tiket penerbangan yang dijanjikan oleh bekas majikannya sebelum ini.

Situasi itu turut mendapat perhatian Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) yang kecewa perkara itu berlaku dan PJBM sedia menghulurkan bantuan bagi mencari jalan dengan sekurang-kurangnya ikhtiar menghantar individu itu pulang ke negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 5:51 PM