SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah berdiam diri membabitkan isu seorang jurulatih yang kini hidup dalam keadaan tersepit sejak beberapa minggu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah menghantar wakil sebaik mengetahui perkara terbabit bagi menghulurkan bantuan sewajarnya kepada jurulatih berkenaan.

Malah, pihaknya juga akan mengadakan lawatan bersama Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan jurulatih tidak lagi hidup dalam kesempitan.

"Kita tidak lepas tangan mengenai situasi berkenaan dengan terus minta wakil untuk lihat sendiri keadaan jurulatih itu.

"Pada masa sama, kita akan cuba menghulurkan bantuan termasuk berunding bersama bekas majikannya untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang ke negara asal," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan seorang jurulatih berstatus import dalam saingan Liga Super ketika ini hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, pengendali yang baharu dipecat oleh sebuah pasukan di Liga Malaysia (Liga M) itu terpaksa tidur beberapa hari di dalam kereta selepas duit simpanannya habis.

Malah, ketika ini individu terbabit terpaksa tinggal di sebuah stor milik rakannya sementara berusaha mencari dana untuk pulang ke negara asalnya.

Menurut beberapa sumber terdekat, jurulatih terbabit tidak terus pulang ke negaranya kerana masih menunggu tiket penerbangan yang dijanjikan oleh bekas majikannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 5:09 PM