SKUAD B-23 dibimbing Elavarasan (tengah). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SKUAD B-23 dibimbing Elavarasan (tengah). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada Ahad ini sudah mendapat 'restu' daripada pasukan masing-masing untuk beraksi di kejohanan Piala AFF B-23 pada 18 Ogos ini.

Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya melakukan perbincangan terlebih dahulu bersama kelab Liga Super sebelum membuat pengumuman untuk menggunakan khidmat pemain mereka.

Beliau berkata, walaupun beberapa tonggak utama tidak dapat digunakan pada saingan Piala AFF B-23 itu, namun pihaknya percaya skuad muda negara itu mampu memberikan saingan sengit sekali gus memperoleh keputusan positif kelak.

"Semua pemain yang disenaraikan ke Piala AFF B-23 sudah mendapat persetujuan kelab masing-masing sekali gus tidak akan timbul ada pasukan melarang beraksi untuk skuad kebangsaan kerana di luar kalendar Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Walaupun kali ini kita kehilangan beberapa tonggak utama namun ada pemain lain dilihat mampu menggalas tanggungjawab terbabit untuk pastikan skuad kebangsaan pulang dengan kejayaan positif," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat yang dijadualkan bermula pada 13 Ogos ini.

Skuad Harimau Muda itu dijadualkan berlepas ke Thailand pada 16 Ogos sebelum mengharungi Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, bermula 17 hingga 26 Ogos.

Mengikut jadual perlawanan, anak-anak buah E Elavarasan akan memulakan saingan berdepan Indonesia pada 18 Ogos sebelum bertemu Timor-Leste empat hari kemudian.

Selain itu, Shahril berkata, pemain B-23 tidak berhadapan masalah membentuk skuad yang mantap walaupun mereka hanya mempunyai tempoh tidak sampai seminggu sebelum beraksi di kejohanan itu.

"Saya lihat 80 peratus pemain adalah terdiri daripada mereka yang menjalani latihan di Melaka sebelum ini sekali gus sudah membentuk keserasian dalam pasukan.

"Sekarang ini, perkara utama adalah memperbaiki kelemahan dan mempertajamkan lagi serangan pasukan dalam memastikan kita mampu merobek kubu lawan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 12:45 PM