ONANA (tengah) dan Maguire (kiri) menjadi watak penting ketika menang 1-0 ke atas FC Copenhagen di Old Trafford, awal pagi Rabu lalu. FOTO AFP
ONANA (tengah) dan Maguire (kiri) menjadi watak penting ketika menang 1-0 ke atas FC Copenhagen di Old Trafford, awal pagi Rabu lalu. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Manchester United kembali membara dengan tiga kemenangan berturut-turut, tetapi ia dianggap belum meyakinkan dan anak buah Erik Ten Hag berdepan ujian getir apabila melayan kunjungan Manchester City, Ahad ini.

Ten Hag dilihat bakal terhumban ke dalam gaung apabila pasukannya ketinggalan 0-1 di tangan Brentford, sebelum dua gol lewat menyelamatkannya.

Satu lagi kemenangan kurang meyakinkan apabila menentang kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Sheffield United, hujung minggu lalu dan ia disusuli berita kematian legenda kelab, Bobby Charlton sebelum sepak mula.

Pada pertengahan minggu, United tidak bermaya ketika menewaskan FC Copenhagen 1-0 di Old Trafford untuk menghidupkan peluang dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Gol tunggal Harry Maguire dan ketangkasan penjaga gol, Andre Onana menyelamatkan sepakan penalti pada masa kecederaan memastikan mereka meraih tiga mata.

Apapun, menang tetap menang dan mood pasti melonjak apabila mereka melayan anak buah Pep Guardiola, yang turut kembali menemui rentak selepas beberapa kekalahan.

City mengalami kekalahan berturut-turut sebelum rehat aksi antarabangsa, tetapi kembali bangkit dengan kemenangan ke atas Brighton & Hove Albion dan kemudian Young Boys pada aksi UCL, awal pagi tadi.

Guardiola tidak perlu diingatkan mengenai kekalahan di Old Trafford pada musim lalu, sebelum membelasah United 6-3 di tempat sendiri.

City turut menang aksi final Piala FA menentang United dalam usaha mereka menyamai pencapaian Red Devils merangkul tiga piala pada 1999.

Jika United menang perlawanan Ahad ini, mereka hanya ketinggalan tiga mata di belakang City dan bekas penyerang City, Sergio Aguero memberi amaran betapa United boleh menjadi lawan berbahaya dalam keadaan tertekan.

"Saya tidak fikir United menjadi pasukan lemah. Mereka sentiasa ada pemain hebat dan menunjukkan kemampuan untuk bangkit daripada detik sukar dan kembali di landasan tepat," katanya kepada Manchester Evening News.

United berdepan masalah kekurangan jaringan dan yang paling sedikit dalam kelompok 10 pasukan teratas dan menjadi tumpuan selepas menandatangani penyerang muda, Rasmus Hojlund.

Namun, penyerang berusia 20 tahun itu belum lagi menjaringkan gol dalam saingan EPL dan tidak adil jika mahu membandingkannya dengan mesin gol City, Erling Haaland.

Jadi, pertarungan Ahad ini mungkin memberi peluang kepada bintang muda itu membuktikan kebolehannya.

"Saya perlu meningkat banyak lagi dan menuju ke arahnya dengan perlahan-lahan," katanya.

"Perlawanan derby akan menjadi pengalaman besar dan saya teruja menantinya. Memang istimewa apabila menentang musuh setempat dan jika menang, kami semakin dekat dengan pasukan teratas."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 10:08 PM