Gelanggang keramat Harimau Malaya itu dijangka akan digunakan pada  Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober. FOTO Ihsan Instagram hrhcrownprinceofjohor
Gelanggang keramat Harimau Malaya itu dijangka akan digunakan pada Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober. FOTO Ihsan Instagram hrhcrownprinceofjohor
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini 'menghijau' dengan rumput terbaharu jenis Zeon Zoysia jelas memberi kepuasan kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hal ini kerana, Tunku Ismail antara individu yang bertungkus lumus selain turut mengurniakan tajaan rumput Zeon Zoysia kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bernilai RM1 juta bagi memastikan kualiti padang di stadium terbesar negara itu berada pada tahap yang terbaik.

Kepuasan Tunku Ismail diterjemahkan menerusi statusnya di Instagram iaitu "I don't talk, I win and I execute" sekali gus menjelaskan apa yang diperkatakan sebelum ini akhirnya menjadi kenyataan.

Mengikut rekod, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan PSM sebelum ini mengambil keputusan untuk menggantikan rumput sedia ada kepada jenis Zeon Zoysia dan yakin penggunaan rumput ini mampu menyelesaikan isu kualiti padang di stadium itu.

Kerja pemasangan rumput itu telah dilakukan pada awal Ogos lalu dan kini keseluruhan kawasan lapangan stadium itu siap dipasang dan gambarnya dikongsi sendiri TMJ menerusi hantaran di insta story peribadinya.

Gelanggang keramat Harimau Malaya itu dijangka akan digunakan secara kompetitif ketika kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober membabitkan empat pasukan iaitu Malaysia, Palestin, India dan Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 4:36 PM