Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hasrat penyokong bola sepak tanah air untuk melihat padang Stadium Nasional Bukit Jalil(SNBJ) berwajah baharu menjadi kenyataan apabila kerja menukar rumput venue itu bakal bermula tahun depan.

Perkara terbabit disahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu rumput di stadium rasmi Harimau Malaya ditukarkan kepada jenis Zeon Zoysia sekali gus tidak akan berdepan lagi masalah seperti air bertakung dan tidak rata.

Malah, bagi merealisasikan matlamat itu, Tunku Ismail menyerahkan sumbangan kira-kira RM1.4 juta selain turut menaja mesin 'vertidrain' bagi memastikan kualiti padang lebih terjamin pada masa akan datang.

Katanya, beliau akan meminta pasukan penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim bekerjasama dengan pihak SNBJ untuk pastikan kerja penukaran rumput berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Kita akan letakkan pasukan penyelenggaraan untuk membantu pastikan kualiti padang. Jika diikutkan proses (tukar rumput) bermula sekarang namun kerja akan bermula Januari depan.

"Ambil masa empat bulan untuk disiapkan. Pada pandangan saya memang perlu ada padang baru berkualiti untuk masa depan.

TMJ bersama Ahmad Faizal berkenan meninjau keadaan rumput padang SNBJ sempena lawatan dan sumbangan membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil. -FOTO Hazreen Mohamad
TMJ bersama Ahmad Faizal berkenan meninjau keadaan rumput padang SNBJ sempena lawatan dan sumbangan membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil. -FOTO Hazreen Mohamad

"Padang sekarang kalau nak adakan perlawanan atau program agak memalukan kerana sekarang ini negara jiran pun sudah tukar padang," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SNBJ.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) meluangkan masa setengah jam meninjau padang SNBJ dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengesahkan bahawa beliau akan menaja kos penanaman rumput baharu di SNBJ.

Beliau menjelaskan rumput jenis Zeon Zoysia itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan itu dimaklumkan TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers dengan jenis rumput berkenaan sama dengan yang digunakan di stadium milik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya menghargai sumbangan dan komitmen yang ditunjukkan TMJ dalam usaha memastikan SNBJ berubah wajah.

Katanya, SNBJ Bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan bertukar idea dengan pasukan penyelenggaraan SSI sehinggalah projek berkenaan terlaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 3:01 PM